Thursday, 5 January 2012

KWSP - Penamaan Pewaris

Jangan Menafikan Hak Orang Yang Tersayang.
Sudahkah anda membuat penamaan terhadap simpanan KWSP anda? Jika anda berumur 18 tahun dan ke atas, anda boleh menamakan waris anda (dibenarkan lebih dari seorang) sebagai penerima/pentadbir simpanan KWSP anda apabila anda meninggal dunia. Anda dinasihatkan untuk menamakan ahli keluarga terdekat seperti suami, isteri, anak-anak, bapa, ibu atau adik beradik untuk memudahkan pengeluaran simpanan KWSP anda.

Bagi ahli bukan beragama islam, individu yang dinamakan sebagai pewaris merupakan pewaris yang sebenar (beneficiary) yang akan menjadi penerima mutlak simpanan anda apabila anda meninggal dunia.

Bagi ahli yang beragama islam, individu yang dinamakan adalah merupakan pentadbir yang bertanggungjawab untuk memastikan pengagihan simpanan anda kepada orang tersayang yang berhak mengikut hukum Faraid apabila anda meninggal dunia.

Kenapa Perlu Membuat Penamaan?
Anda digalakkan untuk membuat penamaan untuk memudahkan dan mempercepatkan urusan pengeluaran simpanan KWSP anda kepada penama tersebut. Sekiranya anda tidak membuat penamaan untuk simpanan KWSP anda, waris terdekat atau tangungan anda berkemungkinan menghadapi kesusahan untuk menuntut simpanan tersebut.

Sekiranya simpanan anda melebihi RM25,000, waris terdekat anda perlu mendapat kan Surat Kuasa Mentadbir/ Surat Probet/ Perintah Pembahagian/ Sijil Faraid daripada pihak yang menguruskan harta pusaka seperti Amanah Raya Berhad atau Mahkamah atau Pejabat Tanah. Proses untuk mendapatkan dokumen berkenaan biasanya mengambil masa yang panjang dan pemohon akan dikenakan bayaran tertentu.

Bagaimana Membuat Penamaan?
Anda perlu mengisi Borang Penamaan KWSP 4 (AHL) dengan lengkap dan menghantarnya ke mana mana pejabat KWSP yang berhampiran. Borang ini perlu diterima oleh KWSP semasa hayat anda.

Penamaan Bagi Ahli Yang Beragama Islam.
Bagi ahli yang beragama islam, individu yang dinamakan hanya bertindak sebagai wasi/pentadbir yang bertanggungjawab  untuk mengagihkan simpanan anda kepada waris-waris yang berhak mengikut Hukum Faraid.

Menyemak Penamaan
Jika anda ingin membuat semakan ke atas penamaan yang telah dibuat, anda bileh menyemak penamaan penamaan tersebut melalui cara berikut:-

1) Datang sendiri ke Pejabat KWSP yang berhampiran
2) Menulis surat kepada
Unit Penamaan,
Seksyen Pendaftaran,
Pejabat KWSP Petaling Jaya,
Bangunan KWSP Jalan Gasing,
46598 Petaling Jaya,
Selangor.

Anda perlu kemukakan kad pengenalan untuk semakan di kaunter manakala untuk semakan secara bertulis, anda perlu sertakan salinan kad pengenalan.

No comments:

Post a Comment